Kejayaan Pemilik Perodua Bezza Mendapat Keadilan – Perodua Setuju Membeli Semula Kereta Rosak

PETALING JAYA – Pemilik Perodua Bezza, Nagakanni Subramaniam, berjaya mendapatkan keadilan apabila Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bersetuju untuk membeli semula keretanya yang mengalami masalah teknikal hanya selepas lapan jam digunakan.

Nagakanni mengumumkan kejayaannya melalui hantaran di Facebook, menyatakan bahawa Perodua tidak hanya bersetuju untuk membeli semula kereta dengan harga penuh, tetapi turut menawarkan untuk membeli kereta kedua dengan kadar bayaran bulanan yang sama.

“Dengan keputusan ini, saya tidak perlu lagi membayar untuk kereta lama malah semua bayaran dibuat sebelum ini, saya akan dapat semula. Perodua juga memberi tawaran untuk saya membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain,” katanya.

Nagakanni menekankan keputusan perlu dibuat dalam masa tujuh hari, sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu beliau menuntut hak tersebut. Beliau juga berkongsi pengajaran yang diperoleh dari pengalaman tersebut, menggambarkan perjuangan menuntut hak daripada syarikat besar sebagai sesuatu yang tidak mudah bagi seorang kerani seperti dirinya.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ini. Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*