Seorang guru berusia 37 tahun, Supriyani berdepan detik sukar selepas ditahan pihak berkuasa hanya kerana mendisiplinkan seorang murid yang merupakan anak anggota polis.
Kejadian yang berlaku pada April lalu melibatkan seorang murid berusia enam tahun dikenali sebagai D yang mengadu kepada ibu bapanya bahawa telah dipukul dengan penyapu oleh Supriyani hingga menyebabkan luka pada pahanya.
Pada mulanya D menyatakan bahawa luka tersebut disebabkan jatuh ketika bermain di sawah, tetapi kenyataannya berubah setelah disoal semula oleh bapanya yang merupakan seorang anggota polis.
Pihak sekolah turut menafikan dakwaan bahawa murid tersebut telah dipukul oleh Supriyani dan telah memohon maaf kepada ibu bapa murid berkenaan. Namun, permohonan maaf tersebut dianggap sebagai pengakuan salah oleh ibu bapa D dan digunakan sebagai alasan untuk membuat laporan polis.
Kontroversi ini mencetuskan kemarahan ramai, terutama golongan guru dan warganet yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa. Kempen ‘Save Ibu Supriyani’ mula dilancarkan bagi menunjukkan sokongan moral kepada guru tersebut.
Lebih mengejutkan ibu bapa murid itu didakwa meminta ‘wang damai’ sebanyak 50 juta rupiah (RM15,000) dan menggesa Supriyani untuk berhenti mengajar.
Walau bagaimanapun, Supriyani enggan memenuhi tuntutan tersebut kerana merasakan dirinya tidak bersalah dan tidak mampu membayar jumlah tersebut.
Selepas beberapa hari dipenjarakan sejak 16 Oktober, guru itu akhirnya dibebaskan sementara oleh mahkamah dan menunggu perbicaraan pertama kes tersebut yang dijadualkan pada Khamis ini.
Baca juga Keputusan Ujian Negatif! Pegawai Kanan Polis Terlepas Daripada Dakwaan Dadah!