Nombor pendaftaran istimewa siri “Madani” telah mencetuskan minat awam apabila nombor ‘Madani 8481’ berjaya mencatatkan bidaan tertinggi setakat ini dengan nilai RM9,999 sejak hari pertama bidaan dibuka.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri Madani pada 20 Oktober lalu dengan harga minimum serendah RM100, dan tempoh bidaan tersebut akan berakhir pada jam 10 malam, Rabu ini dan akan diumum pada Khamis.
“Kaedah penawaran secara bidaan ini tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid,” kata Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.
Harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori iaitu RM20,000 untuk nombor utama, RM5,000 (nombor premium), RM2,500 (nombor menarik), RM500 (nombor popular) dan RM100 (nombor semasa).
Namun, nombor “Madani 8481” menarik perhatian warganet apabila angka 8481 tersebut dilihat menyerupai perkataan ‘BABI’, sekaligus menjadi bahan sindiran di media sosial.
Siri nombor Madani dilancarkan bagi mempromosikan gagasan Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun, beberapa nombor lain seperti ‘Madani 47’ dan ‘Madani 4747’ turut dijadikan bahan sindiran yang berkaitan dengan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Manakala nombor ‘Madani 10’ pula dianggap simbolik kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 negara, menjadikan siri ini lebih daripada sekadar nombor pendaftaran kenderaan.
Sumber: MalaysiaKini