“Doa Agar Pak Lan Cepat Sembuh” – Video Roslan Saleh Terlantar Buat Ramai Risau

KEADAAN kesihatan pelakon veteran Roslan Saleh tidak banyak perubahan selepas terlantar akibat penyakit diabetes kronik sejak dua tahun lalu.

Isteri Roslan iaitu Zainun Majid, 55, menjelaskan perkhabaran mengatakan aktor itu semakin uzur bukan seperti digambarkan sehingga ramai mula berasa bimbang dengan keadaan suaminya.

Jelasnya, Roslan atau mesra disapa Pak Lan tidak banyak berubah dan masih memerlukan bantuan menguruskan diri memandangkan sudah tidak boleh melihat dan berjalan.

Roslan tidak dapat melihat akibat diabetes.

“Sama sahaja keadaan dia sejak dua tahun lalu. Memang tak boleh melihat dan berjalan.

“Dia hanya terbaring sahaja di atas katil. Dalam video tersebut nampak keadaan dia begitu mungkin kebetulan orang itu datang ketika dia baru bangun tidur.

“Keadaan dia bukan seperti ramai sangkakan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Dalam pada itu, Zainun memberitahu walaupun Roslan tidak sihat namun pelakon itu sentiasa bersikap positif dan ceria.

Malah ketika ditemu bual, Zainun sempat menghulurkan telefon kepada suaminya dan meminta wartawan mStar bercakap sendiri dengannya.

Dalam nada agak lemah, Roslan bagaimanapun tetap kedengaran positif dan reda dengan ketentuan Allah mengenai keadaannya.

“Beginilah keadaan saya… Mata tak nampak, kaki tak boleh jalan malah anggota badan pun sudah tak kuat.

“Saya reda dengan apa Allah berikan kepada saya ini,” katanya.

@ustaz.hj.taufik.utKeadaan terkini Pak Lan (Roslan Saleh) pada (23/10/2024). Pak Lan telah buta seumur hidup sejak 4 tahun lalu asbab Kencing manis & keadaannya semakin hari semakin uzur. Mohon doa dari semua. 🤲🕋😭 #roslansaleh #paklan #pelakonlagenda #pelakonvateran #pelakonmalaysia

♬ Tuhan Jaga Dia Untukku – Fiena

Sementara itu, Zainun memberitahu Roslan masih mengikuti perkembangan semasa menerusi laporan berita di televisyen atau YouTube.

roslan saleh 3

Isteri membantu Roslan menguruskan diri di rumah.

“Setiap hari dia akan mendengar berita menerusi video di YouTube. Itu sahajalah aktiviti hariannya.

“Dalam keadaan sekarang, bab pemakanan memang kena jaga. Ada ketikanya dia muntah kalau salah makan.

“Giginya juga sudah banyak patah akibat kencing manis, jadi kebiasaannya suami akan makan juadah lembut,” ujarnya.

Baca juga Isteri maut dilanggar kereta akibat prank suami curang