Seorang anggota tentera yang baru sahaja menimang cahaya mata sulung, dilaporkan telah meninggal dunia ketika menjalani latihan di Kem Terendak, Melaka pada Selasa.
Allahyarham LBdr, Mohd Izuan Hafiz Mohd Supian, 26, dari pasukan 361 Bti RAD (Para) dipercayai mengalami dehidrasi semasa sesi latihan tersebut.
Hanya sehari sebelum insiden tersebut, arwah sempat berkongsi kenangan manis percutian keluarga mereka di Cameron Highlands menerusi media sosial miliknya.
Dalam foto yang dimuat naik, senyuman manis lelaki yang baru bergelar bapa itu bersama isteri dan anak kecilnya menjadi kenangan terakhir yang diabadikan.
Mereka baru sahaja memulakan kehidupan berumah tangga, belum pun setahun menikah.
Difahamkan, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Sungai Baru, Melaka pada Rabu.
Dalam pada itu, berita pemergian pahlawan itu memberi tamparan hebat buat mereka yang mengenali Allahyarham.
Menerusi perkongsian di TikTok, rakan-rakan seperjuangan Allahyarham menyifatkannya sebagai seorang yang baik hati, dan pilu dengan berita mengejutkan itu.
Sementara itu, Panglima 10 Briged (Para), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal dan seluruh Warga 10 Briged (Para) berduka serta mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Semoga ALLAH SWT memberikan ketabahan kepada keluarga dan doa dititipkan agar roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredaannya,” katanya.
Baca Juga : Isteri maut dilanggar kereta akibat prank suami curang